REJAB F.I
REJAB Ismail
atau nama pena Rejab F.I antara segelintir sasterawan dekad 1960-an yang terus
konsisten, prolifik dan pemikirannya teranjak selari dengan zaman. Sebenarnya
tidak banyak sasterawan yang menang mengharungi zaman dan mendepani perubahan
pola pemikiran dengan generasi semasa. Lalu banyak yang mengambil langkah
memperlahankan langkah atau mengundurkan diri dari gelanggang sastera.
Malah ukuran
kesenimanan seseorang bukanlah berapa tingginya gelombang yang melambung dia di
puncak, tetapi berapa panjangkah usia kesenimanannya. Dalam konteks ini Rejab
yang kini berusia 72 tahun terus menulis sejak berusia 19 tahun. Bermakna
sepanjang 50 tahun Rejab tidak pernah berhenti menulis dalam kesibukan
kerjayanya sebagai pendidik di banyak sekolah di Perlis.
Buku ini
adalah memoir Rejab, seorang budak kampung yang menggembala lembu, bersawah dan
membesar bersama nyamuk dan agas, menggapai cita-cita menjadi sasterawan.
Hingga kini, ketika saya singgah di rumah agamnya di pinggir bandar Kangar,
Perlis, Rejab masih menulis. Beliau boleh berhenti daripada kerjaya yang sebati
dengannya sebagai pendidik tetapi tidak boleh meninggalkan pena dan kertas.
Hidupnya penuh dengan aksara, kata dan frasa.
Rejab sangat
terhutang budi kepada akhbar mingguan Utusan Zaman (bertulisan jawi), majalah
Mastika dari bertulisan jawi hingga rumi yang menjadi pentas awal memperagakan
karya-karya berupa cerpen dan puisi. Beliau adalah antara sejumlah besar
sasterawan yang mula bertapak menerusi Utusan Zaman dan Mastika kemudian
Mingguan Malaysia.
Daripada
memoir ini, kejayaan Rejab sebagai sasterawan kelihatan dibentuk oleh kesedaran
untuk mengubah taraf hidup dan pemikiran masyarakat. Seorang guru tahun awal
1960-an adalah pemikir bagi dalam kalangan masyarakat yang rata-rata tidak
menguasai ilmu baca dan tulis yang tinggi. Rejab adalah pemikir dan pemerhati
sosial zamannya, malah mempunyai kesedaran untuk mengubah kepada keadaan yang
lebih baik. Beliau menggunakan kuasa sastera.
Pengalaman
hidup sebagai budak kampung yang daif mencelikkan Rejab sebagai agen perubahan.
Boleh dikatakan hampir semua karya berbentuk novel, cerpen dan puisi dicetuskan
daripada milieu sosial yang melingkari hidupnya sejak kanak-kanak. Karya-karya
Rejab bukan sahaja mahu memajukan masyarakat supaya berfikir di luar kotak,
malah menekankan kerukunan sosial dan moral yang sedikit demi sedikit terhakis
oleh amukan modenisasi di pendalaman.
Rejab sangat
prihatin terhadap kerukunan sosial, tata susila dan kemajuan yang diperjuangkan
tentunya bukanlah fizikal semata-mata. Kemajuan dari sudut manusiawi menjadi
agenda utama Rejab dalam karya-karyanya.
Walaupun
sibuk dengan tugas sebagai pendidik, Rejab mempunyai masa untuk menulis novel,
cerpen dan puisi. Yang menariknya setiap karya yang ditulis mempunyai cerita
benar yang dijadikan ilham bagi membuahkan karya tersebut. Rejab berjaya
memindahkan fakta menjadi fiksi ke dalam karya tetapi memperkatakan isu sebenar
yang dilaluinya ketika karya itu dihasilkan. Selepas menelaah memoir ini
jelaslah bahawa Rejab hadir dalam setiap karyanya.
Daripada
memoir ini juga kita dapat melihat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu yang
diperjuangkan oleh Rejab sejak setengah abad lalu. Hingga kini, beliau antara
sasterawan yang lantang mengkritik pihak tertentu yang terlalu berlembut dan
tidak berani mengangkat kedudukan bahasa Melayu.
Kerana
prinsip memperjuangkan bahasa Melayu ini jugalah Rejab mengkritik keras Tan Sri
Ismail Hussein ketika memimpin Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang
dianggap bertolak ansur dalam isu bahasa Melayu. Rejab seorang yang tidak
"malu alah" untuk berkata sesuatu yang benar sekalipun kepada orang
yang sangat dihormati.
Rejab mencatatkan
rekod kecemerlangan tersendiri apabila berjaya memimpin Persatuan Penulis
Perlis (3P) selama 32 tahun mulai 1971 hingga 2003. Apa lagi kalau bukan
kemampuan yang membolehkan beliau memimpin sebegitu lama dan menggerakkan 3P
sebagai persatuan sastera dan budaya terpenting di wilayah utara.
Di bawah
kepimpinan Rejab, 3P menjadi persatuan penting dalam usaha melestarikan seni
dan budaya tradisi negeri Perlis. Banyak tokoh seni dan budaya diberi
penghargaan sebagai Tokoh Budaya, antaranya tokoh penglipurlara Mahmud Wahid
(Awang Batil) dan Ismail Hassan (Tok Selampit).
Kesan
pertama apabila menyusuri memoir ini ialah membawa kita kembali pada milieu
masyarakat tahun 1950-an hingga 1970-an di kawasan pendalaman di negeri Perlis.
Membawa kita merasakan dengan jiwa tentang alam dan manusia di satu sudut
negeri yang terasing dari limpahan pembangunan pada dekad berkenaan.
Kepada
generasi masa kini, memoir ini boleh dijadikan rujukan untuk melihat dan
memahami sosiobudaya masa lampau, khususnya di sekitar alam yang melingkari
kehidupan Rejab. Walaupun Rejab menceritakan kisah hidupnya tetapi beliau
secara tanpa sedar menggambarkan keadaan sosial waktu itu.
Zaman itu
telah jauh berlalu, negeri Perlis kini telah membangun sama seperti negeri lain
di negara ini. Kesan kedaifan seperti yang dilalui oleh Rejab sudah tidak ada
lagi. Untuk menjiwainya perlulah menelaah memoir Rejab.
Secara
umumnya ini boleh dianggap memoir seorang sasterawan dan juga memoir seorang
pendidik. Memoir ini terbahagi kepada dua; kedua-dua bidang yang digauli oleh
pengarang diberi penekanan yang seimbang. Kepada pendidik generasi sekarang,
memoir ini sangat berguna untuk menghayati kesukaran pendidik terdahulu
mendepani kesukaran bagi memajukan anak bangsa.
Dekad
1960-an adalah dekad yang mencabar, kemiskinan dan kemunduran berada di
mana-mana. Kepentingan ilmu bukan menjadi keutamaan kepada masyarakat yang kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang. Di situlah peranan pendidik untuk
membuka jendela fikir masyarakat bahawa hanya ilmu sahaja yang boleh
mengeluarkan generasi selepas mereka dari belenggu kemiskinan. Dan Rejab
melakukan tugas ini dengan sebaiknya.
NYANYIAN DARI KUMPULAN KAMI (VIDEO)
No comments:
Post a Comment