Sunday, 1 November 2015

KITAR SEMULA



PENGENALAN KITAR SEMULA

Menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 ( Akta 672) kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa pepejal bagi maksud menghasilkan keluaran. Kitar semula berlaku apabila bahan-bahan diproses dan menghasilkan produk yang sama. Kitar semula mengubah bahan-bahan yang sepatutnya menjadi sisa kepada sumber-sumber yang bernilai. Sebagai tambahan, ia menjadi sumber kepada alam sekitar, kewangan dan faedah sosial. Bahan-bahan seperti kaca, besi, plastik dan kertas di dan dikumpul, diasingkan dan dihantar ke pusat pemprosesan untuk ditukarkan kepada produk atau bahan baru.
Dalam erti kata sebenar, mengitar semula bahan buangan akan menghasilkan bekalan baru bagi bahan yang sama sebagai contoh kertas pejabat terpakai digunakan bagi menghasilkan kertas pejabat yang baru, atau polisterin terpakai digunakan bagi menghasilkan polisterin lain. Bagaimanapun, ini seringkali terlalu sukar atau terlalu mahal berbanding dengan menghasilkan keluaran yang sama dari bahan mentah atau sumber lain, dengan ini kebanyakan barangan atau bahan kitar semula sebaliknya membabitkan kegunaan semula bagi menghasilkan bahan lain seperti kadbod.
Pengkritik seringkali mempertikaikan kebaikan bersih dari segi ekonomi dan persekitaran mengitar semula berbanding kosnya, dan mencadangkan penyokong kitar semula seringkali menjadikan keadaan lebih teruk dan mengalami pengesahan berat sebelah. Khususnya, pengkritik mendakwa bahawa kos dan tenaga yang digunakan dalam pengumpulan dan pengangkutan mengurangkan dan melebihi kos dan tenaga yang dijimatkan dalam proses pengilangan juga kerja yang dihasilkan oleh industri kitar semula adalah pertukaran merugikan kepada kehilangan kerja dalam pembalakan, perlombongan dan industri yang dikaitkan dengan pengeluaran baru dan bahan seperti pulp kertas hanya boleh dikitar beberapa kali sebelum penguraian bahan menghalang lanjutan pengitaran semula. Penyokong kitar semula menafikan semua tuduhan, dan pengesahan pendapat kedua pihak mendorong kepada pertikaian yang yang berpanjangan.


KEPENTINGAN KITAR SEMULA

Program kitar semula dapat mengurangkan kuantiti sampah kerana bahan buangan seperti surat khabar, botol minuman dan besi boleh dikitar semula dan diproses menjadi bahan mentah untuk kegunaan pelbagai industri. Dalam hal ini mengitar semula penting untuk  menjimatkan kos pengurusan sampah oleh pihak majlis perbandaran dan pihak swasta. Kos pengurusan sampah bukanlah murah kerana proses ini melibatkan banyak pihak dan kenderaan yang besar. Oleh sebab itu sampah perlu diuruskan dengan baik agar dapat menjimatkan perbelanjaan membersihkan keadaan persekitaran.                                               
            Program kitar semula juga membekalkan bahan mentah untuk industri tertentu, misalannya kertas surat khabar lama penting untuk kilang kertas. Manakala besi buruk boleh dijadikan bahan logam yang penting untuk industri besi dan logam. Botol minuman dan bekas makanan plastik boleh dijadikan sumber industri yang berasaskan barangan plastik. Oleh sebab itu ada pihak tertentu melihat program ini sebagai sumber pendapatan kerana semua bahan berkenaan boleh dijual, justeru, bahan berkenaan  tidak harus dibuang di merata-rata tempat kerana ada banyak faedah yang boleh kita peroleh jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.                               
            Kitar semula juga penting agar alam sekitar bersih dan bebas daripada pencemaran. Kebersihan alam akan menambah keceriaan di sesuatu kawasan. Orang ramai boleh menikmati keindahan alam dengan sepenuhnya jika alam sekitar bersih kehidupan menjadi lebih seronok dan selesa. Sesuatu yang lebih penting melalui program kitar semula ialah dapat mendidik masyarakat supaya mementingkan kebersihan alam sekitar. Melalui program tersebut kita mengharapkan agar semua penduduk Malaysia dapat memainkan peranan masing-masing untuk menjaga alam sekitar setiap masa. Orang ramai harus mengetahui tempat pembuangan sampah yang betul. Mereka hendaklah membuang sampah di tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan. Alam sekitar yang bersih akan menjamin keselesaan hidup di mana-mana juga kita berada di negara ini.

BARANG YANG BOLEH DIKITAR SEMULA

Terdapat 4 jenis item yang disarankan kepada orang ramai untuk dikitar semula. Item-item tersebut adalah plastik, kertas, aluminium dan kaca.
            Aluminium terpakai yang telah dikumpul, diasingkan lalu direnyukkan untuk diangkut ke pusat kitar semula. Aluminium terpakai kemudian dilebur untuk menyingkirkan bendasing. Tin-tin aluminium terpakai kemudiannya digunakan untuk  menghasilkan tin-tin yang baru. Kitaran semula aluminium menjimatkan banyak tenaga berbanding memproses kitar semula barangan lain seperti kertas.
            Kaca akan diasingkan mengikut warna. Apabila kaca dicairkan, warna asalnya masih kekal bermakna kaca hijau akan kekal menjadi kaca hijau, kaca coklat akan kekal dengan kaca coklat, dan kaca yang  jernih akan kekal menjadi kaca jernih.  Setelah kaca-kaca diasingkan mengikut warna dan dibersihkan, ia  akan dihancurkan dan ditambah dengan sedikit bahan mentah yang lain untuk dijadikan kaca yang baru. Campuran tersebut akan dipanaskan sehingga cair dan akan membentuk sejenis cecair. Kaca yang masih panas akan dibentuk untuk dijadikan botol. Hasil yang terbentuk akan disejukkan dan diperiksa dari sebarang  keretakan/kecacatan. Proses terakhir ialah kaca-kaca yang sudah siap akan dihantar ke syarikat-syarikat atau kilang-kilang di mana kaca ini akan diisi dengan makanan dan minuman.
 Surat khabar lama dan majalah-majalah usang yang telah dikumpul  dari seluruh negara akan dibawa ke kilang memproses kertas  terpakai. Kertas-kertas yang dikumpulkan tadi dihantar ke tempat pemprosesan  di mana pada mulanya proses mencampurkan air dengan bahan kimia akan dilaksanakan untuk membantu dalam proses penghancuran sebelum  dibersihkan daripada kotoran yang nyata. Kertas yang dihancurkan  tadi dinyahkan dakwat yang terkandung di dalamnya, sebelum  menjalani proses pembersihan selanjutnya, proses penapisan dan pencerahan.
Kemudian, hasil yang diperolehi daripada proses di atas dicampurkan dengan air lalu dipamkan ke bahagian hujung basah  mesin membuat kertas. Kertas kemudiannya diratakan oleh mesin pelembut kertas sebelum digulung menjadi satu gulungan kertas yang besar.  Gulungan kertas tadi kemudiannya dipotong mengikut pelbagai saiz, bergantung kepada kehendak pelanggan.
 Plastik-plastik yang boleh dikitarsemula, ini seterusnya  diasingkan mengikut kategori. Kitar semula plastik ini adalah satu perkara yang paling mudah dan ringkas. Plastik akan dipisah-pisahkan sehingga menjadi serpihan halus yang bersaiz lebih kurang 1 sentimeter. Kemudian ia dicuci untuk membuang segala kotoran. Serpihan yang telah dibersihan itu tadi akan dikeringkan melalui saluran udara panas.  Serpihan-serpihan plastik kemudiannya dibungkus untuk dijual  (dalam bentuk serpihan) ataupun akan dijadikan bahan-bahan baru.


BENTUK PLASTIK
Terdapat berbagai jenis plastik boleh didapati. Ia mesti diasingkan sebelum dikitar semula kerana setiap plastik cair pada suhu yang berbeza. Industri plastik sendiri telah mewujudkan kod identifikasi bagi melabel pelbagai jenis plastik yang berbeza. Antara jenis-jenis plastik ialah
Type 1 - Polyethylene Terephthalate (PET)
Kegunaan : Botol minuman ringan dan mineral. Jenis yang paling banyak dkitar semula. Kebanyakan pusat kitar semula memerlukan anda mengasingkan penutupnya dan meleperkan botol tersebut.
Type 2 - High Density Polyethylene (HDPE)
Kegunaan : Botol detergen dan minyak masak, beg runcit serta mainan plastik
Type 3 - Vinyl/Polyvinyl Chloride
Kegunaan : Paip plastik, perabut luaran. Pusat kitar semula jarang mengambil bahan ini untuk dikitar semula
Type 4 - Low Density Polyethylene (LDPE)
Kegunaan : Beg plastik, pelapik tin, bekas pengisi makanan. Jarang di gunakan
Type 5 - Polypropylene (PP)
Kegunaan : Penutup plastik, penyedut air minuman, pembalut makanan, permaidani. Jarang dikitar semula. Biasa nya di tanam di tapak pelupusan.
Type 6 - Polystyrene (PS)
Kegunaan : Palet pembungkus, cawan polystyrene. Kebanyakan stor perkapalan/pembungkusan akan menerima bahan ini untuk digunakan semula.
Type 7 - Lain-lain
Kegunaan : Sesetengah jenis pengisi makanan dan tupperware.


MASALAH  DAN  HALANGAN  DALAM  KITAR SEMULA

Pada masa kini, konsep kitar semula ini kurang diterapkan dalam diri masyarakat kerana masyarakat pada hari ini lebih mengamalkan sikap tidak menghiraukan alam sekitar. Antara punca dan halangan utama yang menyebabkan amalan kitar semula ini tidak mendapat sambutan ialah sikap individu dimana terdapat segelintir masyarakat yang tidak mempedulikan amalan kitar semula ini. Kebanyakan barangan yang boleh dikitar semula dibuang dan dibakar begitu sahaja.
Selain daripada itu kurangnya pengetahuan di kalangan masyarakat pada masa kini yang membuang bahan kitar semula kerana mereka tidak sedar betapa pentingnya amalan kitar semula. Bagi mereka, amalan kitar semula ini hanya membuang masa dan tidak mendatangkan sebarang kepentingan.
Kebanyakan pusat pengumpulan mengambil barangan kitar semula dnegna harga yang rendah menyebabkan penduduk sekitar lebih senang membakar bahan tersebut daripada menjualnya. Di samping itu, kurangnya pusat pengumpulan bahan kitar semula juga menjadi punca utama mengapa amalan kitar semula ini tidak mendapat sambutan. Selain daripada itu, terdapat juga masyarakat yang tidak memberikan kerjasama apabila kempen kitar semula ini dijalankan oleh kerajaan. Sikap tidak ambil peduli tentang amalan kitar semula ini menyebabkan usaha kerajaan untuk menjimatkan tenaga dan bahan kitar semula tidak akan terlaksana.


LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENJAGA ALAM SEKITAR

Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi. Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga alam sekitar perlulah diambil.
Langkah-langkah yang boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar . Pada hari ini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen. Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak berwajib sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan media tersebut berbanding media-media lain.
Selain itu, langkah untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga alam sekitar seperti menguruskan  sisa pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga, aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi ini.
Langkah ketiga bagi mengatasi pencemaran alam sekitar pula ialah melalui organisasi-organisasi seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan juga syarikat-syarikat tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah. Pertandingan kelas terbersih di  antara kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan dengan proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam sekitar akan dapat dipupuk dalam diri pelajar           .
Langkah seterusnya ialah melalui penggunaan teknologi moden. Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Penggunaan teknologi moden dapat mengawal dan mengurangkan pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Dengan adanya teknologi moden, tumpahan minyak di lautan adalah lebih mudah dibersihkan tanpa meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu, dengan menggunakan teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalah lama, kain dan bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu  akan dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian telah dapat mengurangkan kadar gas karbon monoksida yang dilepaskan. Hal ini akan dapat mengurangkan kadar pencemaran udara di sekeliling.

KESIMPULAN


Kesimpulannya, kempen kitar semula ialah suatu usaha yang sangat berfaedah kepada negara dan rakyat. Banyak pihak yang mendapat manfaat daripada usaha ini. Kempen ini seharusnya diteruskan agar lebih ramai rakyat tampil untuk menyahut seruan ini dan mengamalkan program kitar semula. Kita sepatutnya menjadikan program ini amalan dalam kehidupan kita kerana Islam sendiri mengingatkan kita bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman. Hal ini selaras dengan impian Perdana Menteri yang mahu melahir­kan rakyat yang mempunyai minda kelas pertama.

5 comments: